Wednesday, 25 May 2011

myMetro | Maria mula kempen penuh bergaya



PARIS: Bekas pemain nombor satu dunia, Maria Sharapova memulakan kempennya pada kejohanan tenis Terbuka Perancis dengan penuh bergaya semalam apabila menyingkirkan pemain Croatia, Mirjana Lucic 6-3, 6-0 untuk mara ke pusingan kedua.
Pilihan ketujuh dari Russia itu, yang memenangi kejohanan Antarabangsa Rome bulan ini, mematahkan servis lawannya pada permainan ketujuh dan tidak menoleh ke belakang lagi.



Dia akan berdepan pemain remaja Perancis, Caroline Garcia pada pusingan berikutnya.


Aksi semalam juga menyaksikan bekas juara, Ana Ivanovic kecundang pada pusingan pertama 6-7, 6-0, 2-6 di tangan pemain kurang ternama dari Sweden, Johanna Larsson.



Pilihan ke-20 dari Serbia itu, yang menarik diri daripada kejohanan Antarabangsa Strasbourg minggu lalu kerana kecederaan pergelangan tangan, tidak konsisten sepanjang perlawanan menentang pemain nombor 64 dunia itu.




Pemain nombor tujuh dunia dari China, Li Na dipaksa bertarung tiga set oleh pemain Republik Czech, Barbora Zahlavova Strycova sebelum menang 6-3, 6-7 (6/8), 6-3 semalam.



Li Na, pilihan keenam kejohanan, muncul pemain pertama China layak ke final Grand Slam pada Terbuka Australia tahun ini, akan bertarung untuk merebut tempat ke pusingan ketiga menentang pemain Sepanyol, Silvia Soler Espinosa.



“Saya masih gembira kerana mampu menang hari ini. Ia perlawanan yang sukar. Saya juga mengalami kekejangan otot pada hujung perlawanan, tapi berharap dia tidak nampak,” kata Li Na.


“Ketika ini saya berasa setiap pemain berpeluang untuk memenangi acara Grand Slam. Tapi, saya sering berkata, 'mudah untuk berkata, sukar melakukannya.” Dalam acara perseorangan lelaki, pilihan keempat dari Britain, Andy Murray melakukan beberapa kesilapan sebelum mengalahkan pemain tempatan, Eric Prodon 6-4, 6-1, 6-3 pada pusingan pertama.



Prodon, pemain ranking ke-124 dunia, hanya memenangi satu perlawanan dalam jelajah utama sepanjang 11 tahun karier profesionalnya walaupun dia pernah mengalahkan Roger Federer sekali ketika remaja.





“Ia perlawanan yang sukar,” kata Murray, pencapaian terbaiknya di Roland Garros adalah ke suku akhir dua tahun lalu.




“Tiada rentak perlawanan sebenar. Dia tidak mahu bermain rali panjang jadi dia hanya melakukan banyak pukulan drop dan mengubah kelajuan bola.” - Reuters

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...