Maria mudah benam cabaran Ekaterina..
ROME: Bekas juara Wimbledon, Maria Sharapova mudah melangkah ke pusingan ketiga Kejohanan Antarabangsa Rome selepas menundukkan Ekaterina Makarova 6-1, 6-1 dalam aksi di gelanggang tanah liat, semalam.
Begitupun nasib berbeza dialami pemain nombor empat dunia, Andy Murray apabila terpaksa berkerja keras sebelum menewaskan pemain berpengalaman dari Belgium, Xavier Malisse 6-2, 2-6, 6-3.
Maria sebelum ini mendakwa mutu permainan tenis wanita semakin meningkat dan bukan lagi mudah melepasi pusingan awal seperti sebelum ini. Bagaimanapun kenyataan itu menjadi sebaliknya apabila dia menang mudah ke atas rakan senegaranya, Ekaterina. Ekaterina yang langsung tidak melawan, hanya mampu meraih satu mata di kedua-dua set.
Maria menggunakan kelebihannya untuk membenam lawannya itu dengan meraih lima mata mudah. Perlawanan itu nampak lebih mudah buat pemain pilihan ketujuh berbanding minggu lalu ketika mereka bertemu di Madrid.
“Saya bertemu dengannya minggu lalu di Madrid dan dia berjaya mencuri satu set untuk mengajak saya beraksi tiga set,” katanya.
“Ia satu perlawanan yang mudah dan pastinya membantu berdepan perlawanan seterusnya di gelanggang tanah liat ini.” Sementara itu, aksi Murray di set kedua mula tidak konsisten menyebabkannya tewas sebelum bangkit mendahului 4-1 di set penentuan. Pemain nombor empat dunia itu bermain lebih baik untuk menguasai tiga mata di set pertama. Namun lawan dari Belgium itu bangkit memberi tentangan di set kedua dan mendahului 4-1 selain berjaya memerangkap Murray di jaring untuk menang set kedua.
Ketika kedudukan terikat 1-1, Murray kembali fokus dengan melakukan beberapa pukulan ace untuk menang pertarungan itu.
Bintang Scotland itu berkata, masih banyak perlu dilakukan menjelang perlawanan Terbuka Perancis hujung bulan ini.
“Saya gembira namun secara taktikal, saya harap mampu lebih fokus agar dapat menjadi lebih baik,” katanya.
“Saya perlu bermain untuk mendapatkan setiap mata seperti ia mata terakhir dan memberi peluang kepada saya untuk menang.” - AFP
No comments:
Post a Comment